JAMBATAN TUA KOTA MOSTAR – KEBANGKITAN SEMULA DARI KEMUSNAHAN
Artikel ini merupakan nukilan saya yang pernah disiarkan oleh laman The Patriots di bawah kendalian rakan-rakan saya pada 26 Mei 2017 lalu.
Pada
tanggal 9 November 1993, akhirnya jambatan tua ini runtuh menyembah bumi
selepas menerima tembakan lebih 60 butir peluru mortar daripada militant Croat,
Bosnian Croat Defence Council (HVO) seperti yang dilaporkan oleh agensi akhbar
yang berpengkalan di Sarajevo. Selepas kemusnahannya, salah seorang jurucakap
HVO mengatakan kemusnahannya sebagai salah satu kepentingan strategik. Namun
begitu ramai ahli akademik berhujah bahawa jambatan tua tersebut tidak memiliki
banyak nilai strategik sekalipun dan serangan terhadapnya hanyalah contoh
kepada kemusnahan warisan kebudayaan. Andreas Riedlmayer, seorang sarjana
Harvard menerusi petikan makalahnya yang berjudul Killing Memory: The Targeting
of Bosnia’s Cultural Heritage bertarikh 4 April 1995 merujuk pemusnahan warisan
kebudayaan ini sebagai “pembunuhan memori”.
Jambatan
Kota Mostar atau lebih dikenali dengan nama bahasa Bosnia-nya iaitu, Stari Most adalah sebuah jambatan lama
yang dibina pada pertengahan kurun ke-16 ketika Bosnia Herzegovina masih lagi
dibawah jajahan empayar Uthmaniah. Dibina merentasi lembah sungai Neretva,
ianya merupakan penghubung kota Mostar iaitu sebuah bandar kelima terbesar di
negara bekas Persekutuan Yugoslavia itu. Selama lebih 427 tahun lamanya
berdiri, jambatan lama tersebut mengekalkan fungsinya sebagai penghubung di antara dua bahagian
bandar tersebut sehinggalah ianya musnah ketika berlakunya perang di antara
etnik Croat dan Bosniak pada tahun 1993 selepas kejatuhan Persekutuan
Yugoslavia.
Dibina
pada tahun 1566 oleh Mimar Hayruddin (seorang anak murid arkitek ternama Mimar
Sinan), jambatan ini mengambil masa selama hampir 10 tahun untuk disiapkan.
Pembinaan jambatan ini ditauliahkan oleh Sultan Suleiman Yang Agung pada tahun
1557 untuk menggantikan jambatan gantung lama yang dibina menggunakan kayu.
Ianya dibina sepenuhnya menggunakan batu-batan tempatan yang dikenali sebagai tenelija dan disambungkan oleh pin logam
serta lepa diperbuat daripada campuran protein susu. Tidak banyak sebenarnya
yang diketahui mengenai kisah pembinaan jambatan ini, apa yang kekal
terpelihara adalah nukilan-nukilan memori dan legenda disebalik nama pembinanya
iaitu Mimar Hayruddin. Menurut legenda, kononnya beliau berdepan dengan
keperitan yang penuh menyiksakan untuk menyiapkan jambatan yang amat
menakjubkan mata memandang ini. Sejurus selepas jambatan ini disiapkan, ianya
memiliki gerbang (arch) terluas di
dunia. Bentuk gerbang itu sendiri terbentuk daripada ketidakteraturan hasil
daripada kecacatan intrados (garisan
dalam gerbang). Sewaktu ia dibina, dianggarkan pembinaan jambatan ini menelan
belanja sebanyak 300 ribu Drams (duit perak).
Berketinggian
24 meter (78 kaki 9 inci) dari aras sungai, dengan lebar 4 meter (13 kaki 1
inci) dan panjangnya 30 meter (78 kaki 9 inci). Jambatan ini dibina secara
membukit sesuai dengan rekabentuk gerbangnya. Sepertimana jambatan lama di
dunia, ianya diapit dengan dua menara peninjau di kedua-dua bahagian masuk ke
arah jambatan ini yang digelar Mostari
iaitu menara Halebiya di arah timur laut dan menara Tara di arah barat daya.
Asas kepada jambatan ini adalah penampan yang dibina menggunakan batu kapur
yang disambungkan dengan dinding sayap sepanjang tebing sungai dibawah jambatan
ini.
Menurut
catatan pengembara Turki pada kurun ke-17 Evliya Celebi, nama Mostar itu
sendiri bererti “penjaga jambatan”. Jambatan ini dibandingkan laksana ‘pelangi
yang melambung ke langit’ melalui catatan beliau pada ketika itu: “Jambatan ini
laksana gerbang pelangi melambung tinggi ke langit, melanjuti dari satu tebing
ke tebing di seberang… daku, hamba-Nya yang miskin lagi sengsara, telah kutelusuri
16 buah negara, namun tidak pernah sekali kulihat jambatan setinggi ini.
Dilontar dari batu ke batu setinggi angkasa.”
Selama
lebih 427 tahun berdiri teguh di tengah bandar Mostar, jambatan tua ini telah
banyak berjasa dengan penduduk setempat mahupun orang luar yang datang melawat
ke bandar tua ini. Jambatan ini menjadi penghubung untuk penduduk di kedua-dua
bahagian sungai ini untuk menyantuni di antara satu sama lain sama ada perdagangan
ataupun kerjasama politik. Jambatan tua ini juga menjadi saksi kepada jatuh
bangun-nya kuasa-kuasa besar yang pernah menjadi penguasa di bumi tempat
jambatan ini berdiri antara-nya Empayar Uthmaniah, Austria-Hungary dan
Persekutuan Yugoslavia. Selama 4 kurun lama berjasa pada penduduk bandar
Mostar, Stari Most menjadi simbol penyatuan, keamanan dan keharmonian
penduduknya yang berbilang agama.
Akan
tetapi segalanya telah musnah apabila tercetusnya perang di antara etnik Croat
dan Bosniak untuk merebut penguasaan kota ini selepas runtuhnya Persekutuan
Yugoslavia pada awal tahun 1990. Pertempuran tersebut telah mengubah jambatan
tua ini menjadikan ia monument dipenuhi ‘parut-parut’ peperangan. Menjadi medan
kepada serangan sniper dan mortar, laluan jambatan ini disekat dengan timbunan
tayar lama untuk melindunginya daripada menjadi laluan kepada dua pihak yang
bertelagah menyeberangi ke kawasan musuh masing-masing. Pada awal pertempuran
tersebut ramai beranggapan bahawa ianya satu keajaiban kerana jambatan tersebut
tetap teguh berdiri begitu lama sekali meskipun menerima berpuluh-puluh
tembakan selama 19 bulan.
Meskipun
jambatan ini telah dimusnahkan, kedua-dua belah bandar ini masih dihubungkan
oleh jambatan kabel sementara yang dibina oleh jurutera angkatan tentera
Sepanyol dan Portugal yang bertugas dibawah misi United Nations Protection
Force (UNPROFOR).
Selepas
tamatnya peperangan ini, rancangan pembinaan semula jambatan ini telah dibangkitkan.
Sebuah pakatan telah dibentuk hasil kerjasama Bank Dunia, UNESCO, Yayasan
Kebudayaan Aga Khan, dan Yayasan Monumen Dunia untuk menyelia pembinaan semula
Stari Most dan juga bandar bersejarah Mostar. Sebahagian dana tambahan juga
telah disumbangkan oleh kerajaan Itali, Belanda, Turki, Croatia, Majlis Bank
Pembangunan Eropah dan kerajaan Bosnia Herzegovina sendiri. Pada Oktober tahun
1998, sebuah jawatankuasa pakar-pakar antarabangsa telah dibentuk oleh UNESCO
untuk menyelia reka bentuk dan pembinaan semula jambatan Mostar. Jawatankuasa
tersebut telah memutuskan supaya jambatan Mostar dibina semula semirip mungkin
dengan menggunakan kepakaran teknologi dan bahan-bahan yang sama seperti binaan
asal. Jambatan baru Stari Most tersebut dibina dengan menggunakan bahan-bahan
tempatan oleh Er-Bu Construction Corp, sebuah syarikat pembinaan daripada Turki
dengan menggunakan teknik pembinaan zaman Uthmaniyyah. Batuan Tenelia dari
kuari tempatan telah digunakan dan penyelam angkatan tentera Hungary juga
menemui batu-batu dari binaan yang asal dari dasar sungai untuk digunakan
semula. Kerja-kerja pembinaan semula ini bermula pada tanggal 7 Jun 2001 dan
disiapkan sepenuhnya dan dirasmikan pada tanggal 23 Jun 2004, dengan kos
pembinaan yang dianggarkan sebanyak USD$15.5 juta.
Kini,
selepas hampir tiga belas tahun terbina dan berdiri teguh di tapak asalnya.
Jambatan Mostar kini menjadi salah satu tarikan utama pelancongan di negara
Bosnia Herzegovina. Antara acara tradisi yang diadakan pada setiap tahun di
jambatan lama ini adalah pertandingan terjunan dari atas jambatan ke sungai
Neretva. Ianya sebuah terjunan yang amat berisiko kerana dasar sungai ini
teramatlah sejuk dan penerjun yang pakar dan terlatih sahaja mampu menyahut
cabaran ini. Tradisi ini telah diamalkan sejak jambatan ini mula dibina lagi
dengan catatan terawal yang menceritakan akan seseorang pernah terjun dari
jambatan ini pada tahun 1664. Pada tahun 1968, baru lah pertandingan ini
diadakan secara rasmi setiap kali musim panas. Jambatan ini telah disenaraikan
sebagai sebahagian daripada monumen Warisan Dunia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu pada tahun 2005.
Comments
Post a Comment